Isu perbezaan mengikut gender dalam pelbagai aspek kehidupan telah dikaji oleh banyak pengkaji di serata dunia. Dalam konteks pendidikan, perbezaan jantina yang berkaitan dengan prestasi akademik masih menjadi salah satu isu yang menarik untuk dikaji. Busch (1995) melaporkan bahawa kajian mengenai gender dalam tahun 1980-an dan awal 1990-an banyak berkisar mengenai isu kecekapan kendiri pelajar dalam mata pelajaran sains dan matematik dan juga dari segi penggunaan komputer yang menunjukkan perbezaan antara gender yang agak ketara. Boleh dikatakan kajian-kajian tersebut merumuskan bahawa pelajar lelaki mempunyai kecekapan kendiri yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan dalam bidang berkenaan. Bagaimanapun terdapat juga kajian yang menunjukkan prestasi pelajar perempuan lebih tinggi (Bridgement & Wendler 1995). Kajian Xu dan Farell (1992) ke atas pelajar Cina pula tidak menunjukkan keputusan yang konklusif dari segi jantina dalam dapatan kajian mereka. Tinjauan oleh Sutherland (dalam Tinklin, Croxford, Frame & Ducklin 2000) menyatakan bahawa prestasi pelajar perempuan yang lebih baik berbanding pelajar lelaki adalah suatu fenomena yang menyeluruh dan berlaku di banyak negara di dunia seperti di Scotland, England, Peranchis, Jerman, Jepun, Australia, dan New Zealand. Di Jerman misalnya, markah yang dicapai oleh pelajar perempuan adalah lebih baik berbanding dengan pelajar lelaki dan kebarangkalian pelajar perempuan meneruskan pendidikan ke tahap menengah atas adalah lebih tinggi daripada pelajar lelaki. Di samping itu, statistik di Australia pula menunjukkan bahawa pelajar perempuan berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding pelajar lelaki. Jules dan Kutnick (1997) melaporkan bahawa fenomena yang serupa turut dialami di Trinidad dan Tobago dengan kadar keciciran yang tinggi di kalangan pelajar remaja lelaki kerana mereka dikatakan mula kurang selesa dengan guru perempuan. Keadaan yang serupa turut berlaku di Malaysia. Data daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (2000) mengenai keputusan peperiksaan awam dari tahun 1996-1999 menunjukkan pelajar perempuan memperoleh prestasi akademik yang lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam peperiksaan awam di peringkat sekolah rendah (UPSR), menengah rendah (PMR) dan menengah (SPM) dalam kebanyakan mata pelajaran terutamanya Sains, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Antara faktor yang dikaitkan dengan isu mengapa pelajar perempuan lebih baik berbanding pelajar lelaki termasuklah dakwaan bahawa stail pengajaran dan pengujian yang lebih berpihak kepada pelajar perempuan. Dapatan kajian yang ditinjau juga mendapati pelajar perempuan lebih positif dan memberi perhatian yang lebih serius kepada kerja-kerja sekolah berbanding pelajar lelaki (Dwyer 1974; Fennema 1987; Halpern 1992). Mereka juga menunjukkan minat membaca yang lebih baik (McKenna 1997). Pelajar lelaki dan perempuan juga dikatakan menggunakan stail pembelajaran yang berbeza (Picou, Gatlin-Watts & Packer 1998). Di Malaysia, kecemerlangan prestasi pelajar perempuan dimanifestasikan dengan jumlah enrolmen pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ketidakseimbangan bilangan pelajar lelaki dan perempuan di IPTA mempunyai implikasi sosio-politik dan ekonomi yang serius kepada negara. Justeru, kajian ini dijalankan untuk meneliti perbezaan gender dari segi prestasi akademik di kalangan pelajar dalam sistem pendidikan di Malaysia dengan harapan untuk mendapatkan input-input yang dapat memberi cadangan terhadap usaha untuk memperbaiki pencapaian bagi kedua-dua jantina. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis secara tinjauan faktor-faktor yang menyumbang kepada perbezaan prestasi di kalangan pelajar lelaki dan perempuan dalam sistem pendidikan negara. Soalan-soalan kajian ini ialah:1. Apakah corak dan trenda perbezaan prestasi di kalangan pelajar lelaki dan perempuan dalam peperiksaan awam negara? 2. Sejauhmanakah perbezaan dalam faktor-faktor yang diandaikan boleh mempengaruhi prestasi di kalangan pelajar lelaki dan perempuan.
Secara umum dapatan kajian menunjukkan pelajar perempuan lebih berjaya dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki. Dapatan kajian menunjukkan beberapa faktor penting yang dikaitkan dengan pelajar, persekitaran dan guru yang diandaikan menyumbang kepada keadaan tersebut. Implikasi dapatan kajian dibincangkan berdasarkan dapatan mengenai faktor-faktor tersebut. Dapatan kajian menunjukkan pelajar perempuan mempunyai lebih kemahiran dan strategi pembelajaran yang membantu proses pembelajaran dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan mereka berbanding pelajar lelaki. Justeru guru perlu sedar bahawa pelajar lelaki perlu dibantu untuk meningkatkan kemahiran dan strategi belajar mereka. Pelajar perempuan lebih jelas tentang cita-cita dan wawasan pendidikan mereka. Ini menunjukkan pelajar lelaki perlu dibantu untuk membentuk cita-cita dan wawasan pendidikan yang lebih jelas. Justeru guru perlu lebih sedar tentang kadar kematangan pelajar lelaki dan perempuan yang tidak sama. Oleh itu guru perlu melaksanakan pengajaran yang mempertimbangkan kepelbagaian pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti dan bahan untuk memenuhi kepelbagaian pelajar. Aktiviti kokurikulum di sekolah juga perlu dipertingkatkan keberkesanan pelaksanaannya supaya pelajar lelaki lebih berminat untuk melibatkan diri. Dengan demikian, aktiviti kokurikulum dapat digunakan untuk membina cita-cita dan wawasan yang jelas di kalangan pelajar lelaki. Dari segi kawalan keluarga, dapatan kajian menunjukkan keluarga lebih mengawal pelajar perempuan lalu menyebabkan mereka mempunyai lebih ruang dan peluang untuk memberikan lebih tumpuan kepada pelajaran. Sebaliknya pelajar lelaki diberikan lebih kebebasan oleh keluarga. Kurang kawalan keluarga terhadap pelajar lelaki menyebabkan mereka terbiar dan mudah terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif serta budaya yang kurang sihat. Jelaslah bahawa keluarga perlu memainkan peranan dalam mengawal aktiviti pelajar lelaki agar kebebasan yang diberikan adalah kebebasan yang terkawal. Ibu bapa perlu didedahkan kepada perubahan tentang nilai dan masalah sosial hari ini. Ibu bapa juga perlu membuat anjakan paradigma berhubung dengan cara mengasuh anak-anak agar lebih sesuai dengan kehendak semasa. Agensi kerajaan seperti Kementerian Pembanguan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Wanita,
Kementerian Kebajikan dan Perpaduan Negara serta LPPKN perlu mengadakan program-program untuk menyedarkan ibu bapa tentang peranan mereka dalam mengawal perkembangan anak-anak dan sumbangan kawalan ke arah pencapaian kecemerlangan pendidikan serta proses pembentukan personaliti anak-anak, khususnya anak lelaki. Masyarakat juga hendaklah mempertingkatkan semangat kejiranan agar masalah kawalan sosial anak-anak lelaki yang terbiar dan tidak menggunakan masa senggang dengan berfaedah dapat dikurangkan. Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa keperluan dan gaya pembelajaran pelajar lelaki adalah berbeza dengan pelajar perempuan. Pelajar perempuan lebih mengamalkan gaya pembelajaran yang bersifat abstract sequential dan concrete sequential. Besarnya bilangan guru perempuan dan gaya pengajaran mereka yang komplemen dengan gaya pembelajaran pelajar perempuan menyebabkan pelajar perempuan memperoleh kelebihan secara kebetulan. Dengan kata lain, pelajar lelaki mengalami diskriminasi yang tidak disengajakan. Justeru itu, guru perlu sedar tentang perbezaan gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Guru juga perlu mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya lebih sesuai dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pelaksanaan pengajaran guru di bilik darjah kurang membantu pelajar lelaki kerana guru tidak mempertimbangkan perbezaan gaya pembelajaran pelajar-pelajar mereka. Justeru dicadangkan supaya kurikulum diperluaskan melalui penempatan pelajar mengikut opsyen yang sesuai dengan minat mereka. Pelajar lelaki diberi peluang membuat pilihan untuk mengikuti mata pelajaran yang sesuai dengan minat mereka, contohnya dalam bidang teknikal dan kemahiran. Guru dan masyarakat harus menerapkan nilai bahawa semua mata pelajaran adalah penting dan sama tarafnya. Pihak sekolah tidak seharusnya menetapkan sesuatu aliran pengajian kepada pelajar kerana pelajar mungkin tidak berminat dengan aliran tersebut. Kursus keguruan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan haruslah menekankan kemahiran untuk menerapkan nilai dan bukan mengajarnya secara langsung. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pelajar lelaki menunjukkan reaksi yang berbeza terhadap persekitaran sekolah dan gaya pengajaran guru dengan mengambil tindakan yang lebih mendorong mereka untuk meninggalkan sekolah atau ponteng kelas. Justeru guru hendaklah menyedari hakikat bahawa kemahiran menyelesaikan masalah di kalangan pelajar lelaki adalah berbeza dengan pelajar perempuan. Oleh itu guru dan kaunselor sekolah haruslah memainkan peranan untuk membantu pelajar, khususnya pelajar lelaki menyelesaikan masalah supaya mereka tidak mengambil tindakan yang merugikan diri sendiri.
kesiannya
ReplyDelete